Anugerah SKRIN 2008
KEHANGATAN Anugerah Skrin 2008 (ASK 2008) semakin dirasai apabila acara gilang-gemilang itu yang mengambil tema berlian akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 pada Jumaat ini (7 November).
Pastinya kini, ramai yang mula berteka-teki dan membuat ramalan siapakah yang bakal membawa pulang anugerah yang mengiktiraf hasil kerja seni para karyawan seni tanah air baik menerusi drama, filem mahupun penerbitan dalaman menerusi 22 kategori yang dipertandingkan.
Untuk menghangatkan lagi suasana ASK 2008, bermula hari ini, Hits meninjau senarai calon-calon yang dilihat mampu memberikan saingan hebat dalam kategori yang dipertandingkan pada tahun ini.
Kali ini, 18 buah drama yang layak dipertandingkan menerusi tayangan di kaca televisyen bermula 1 Julai 2007 hingga 30 Jun lalu dan antara yang disebut akan menjadi perhatian pada malam itu adalah drama Ihsan, Kehangatan Lantana, Tuhan Pun Tahu, Suara Saleha, Relung Kasih dan Wasiat Fitrah.
Sebagai permulaan, Hits akan menyenaraikan pelakon lelaki yang dilihat berpotensi untuk merangkul gelaran Pelakon Lelaki Drama Terbaik untuk ASK 2008.
Untuk kategori ini, nama-nama seperti Afdlin Shauki, Ady Putra, Zamarul Hisham dan Que Haidar antara yang disebut-sebut untuk menjulang trofi dalam kategori berkenaan.
Bukan berlandaskan pada wajah semata-mata tetapi menariknya mereka ini adalah mereka hadir dengan bakat yang dikurniakan dalam melakonkan apa sahaja watak yang diberikan kepada mereka.
Afdlin misalnya, memberikan lakonan yang bersahaja dalam drama Tuhan Pun Tahu namun, emosinya tetap terserlah dalam membawakan watak sebagai seorang suami yang terpaksa menanggung derita sendirian apabila si isteri tidak lagi mahu bersamanya hanya kerana dia tidak sempurna.
Begitu juga dengan Ady yang berjaya menghayati wataknya sebagai seorang suami yang telah ditundukkan oleh isteri dengan cara yang kotor dalam drama Kehangatan Lantana.
Meskipun masih baru lagi dalam bidang lakonan, namun, lakonannya tidak mengecewakan dan ternyata Ady berjaya membawakan watak itu dengan cukup berkesan. Tidak mustahil seandainya namanya diangkat untuk membawa pulang trofi idaman ramai itu.
Zamarul Hisham pula sememangnya tidak dapat dinafikan lakonannya yang sering tidak mengecewakan. Berilah apa sahaja watak kepadanya, akan dilunaskannya dengan cukup berkesan sekali.
Membawakan watak sebagai seorang anak yang tidak mengenang jasa dan akhirnya menjadi orang gila apabila mendapat tahu ibunya meninggal dunia dalam Ihsan, Zamarul telah memberikan lakonan yang mampu membuat penonton berasa jelik dan simpati dalam masa yang sama.
Seringkali namanya dipinggirkan daripada dicalonkan dalam mana-mana anugerah yang berlandaskan merit terbaik, siapa tahu juri akan memilihnya sebagai Pelakon Lelaki Drama Terbaik kali ini.
Kredibiliti pelakon muda ini sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Sama seperti Zamarul, Que juga tidak pernah menghampakan dalam setiap watak yang diberikan kepadanya.
Mempertaruhkan lakonannya dalam drama Tuhan Pun Tahu, Que nampaknya akan bersaing hebat dengan nama-nama besar yang lain..
Esok: Ramalan Pelakon Wanita Drama Terbaik





This is default description text on Padangan Themes, of course you can change this text via you profile administration.